ANTARA DATUK MUSBAH DAN PAHLAWAN EMBO ALI ADA PERSAMAAN

on Ahad, 9 Mei 2010





Bila saya membicarakan tajuk ini dapat saya rasakan ramai rakan bloger yang tidak sependapat dengan saya menyamakan Datuk Musbah dan Pahlawan Embo Ali dari segi perjuangan. Namun tidak salah kalau saya membicarakannya dari sudut padangan saya sendiri yang lahir dalam zaman kemerdekakan bersama-sama dengan Datuk Musbah. Walaupun sejarah Pahlawan Embo Ali hanya sekadar sejarah, namun saya dapat menghayati perjuangannya adalah untuk menentang petualang negara iaitu penjajah. Bagi mengupas isu ini lebih jelas kalau saya menceritakan sinopsis ringkas sejarah pahlawan Embo Ali berdasarkan cerita lisan yang didengar dari sumber-sumber tertentu dan melalui pembacaan serta pembelajaran saya sewaktu di bangku sekolah.

Pahlawan Embo Ali adalah seorang pejuang kemerdekaan yang wujud di daerah Kota Belud, perjuangan beliau ialah menentang penjajah pada waktu itu yang melakukan penindasan kepada penduduk Kota Belud khasnya. Beliau mempunyai pengikut yang ramai di Kota Belud dan telah menjadikan kg Pandasan sebagai kubu pertahanan. Sebelum berjuang menentang penjajah beliau adalah seorang guru agama dan ilmu mempertahankan diri . Antara muridnya yang amat dikenali pada masa ini ialah Arshad seorang tokoh pendatang dari daerah Banjar Masin Indonesia tetapi kerana mahukan kuasa dan pangkat beliau telah sanggup menembak gurunya. Maka gugurlah seorang pahlawan yang sangat berani dan yang dianggap pengkhianat dihati penjajah tetapi dianggap hulubang oleh generasi masa kini. Ekoran dari peristiwa perang di Pandasan itulah telah bermula penduduk Kota Belud diperintah oleh penjajah sehingga merdeka, pemerintahan penjajah itu diteruskan oleh pendatang dari luar negara iaitu dari keturunan Arshad yang dikatakan berasal dari Banjar Masin dan beketurunan Banjar.

Sejarah telah membuktikan fakta ini bermula pemerintahan zaman perikatan USNO dulu Kota Belud diterajui oleh keturunan Arshad. Penguasaan keluarga Haji Anuar sebagai pegawai-pegawai kerajaan di Kota Belud menampakkan legasi keturunan Arshad itu berterusan, kemudian dalam masa pemerintahan kerajaan Berjaya di sabah, keturunan Arshad masih menguasai Kota Belud, kali ini giliran keluarga Datuk Mohd Noor Mansur. Sementara dalam zaman kerajaan PBS kekuasaan ini telah diamanahkan kepada keluarga Tun Said melalui anaknya Datuk Salleh Tun Said dan sehinggalah UMNO mengembangkan sayapnya ke Sabah penguasaan keluarga Tun Said diteruskan melalui Datuk Salleh kerana pada masa itu beliau telah dipilih sebagai Ketua UMNO Bahagian Kota Belud.

Kemudian pada tahun 2004 legasi keruak ini telah dicabar oleh seorang anak petani yang lahir dari keluarga yang miskin iaitu Datuk Musbah Haji Jamli. Mengakui kehebatan anak muda ini pada masa itu Datuk Salleh penerus legasi keturunan Arshad telah menarik diri bertanding dari merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Kota Belud. Maka bermulalah sejarah baru Kota Belud diperintah oleh golongan anak tempatan yang lahir membina kekuatannya sendiri.

Walau bagaimanapun kehebatan yang ditunjukkan oleh YB Datuk Musbah ini hanya bertahan sementara sahaja apabila ramai rakan-rakannya yang menjadi pengkhianat kepada perjuangan mereka. Pada satu ketika kawan-kawannya melaung-laungkan hak-hak kuasa pribumi Kota Belud seperti saudara Lamsil Hamidshor, Saudara Haji Mastan Haji Hassan dan ramai lagi telah menikam kembali perjuangan yang mereka bina bersama. Peristiwa pemilihan UMNO tahun 2008 meleraikan sebenar sikap kawan-kawannya ini, kalau dulu merekalah yang kuat mengutuk musuh-musuh politik mereka tetapi kini mereka menjadi kaki ampu kepada musuh-musuh politik mereka sendiri dan yang sedihnya dalam isu ini merekalah juga turut sama membunuh keria politik Datuk Musbah.

Tetapi kata orang “Kecil-kecil cili padi”. Walaupun susuk tubuh Datuk Musbah kecil-kecil tetapi jiwanya terlalu besar untuk melihat anak bangsanya bangun berdikari sendiri dengan meletakkan dirinya sebagai “Role Model” kepada mereka. Usaha beliau membawa projek Jelapang padi dan Agropolitan bukti jelas keikhlasan beliau mengubah kehidupan bangsanya di Kota Belud. Syabas Datuk Musbah!!!!!!

Berdasarkan fakta itu jelas kepada kita bahawa ada persamaan Datuk Musbah dan Pahlawan Embu Ali. Walaupun mereka berjuang melalui zaman masing-masing iaitu Datuk Musbah pada masa sekarang iaitu negara sudah merdeka dan Pahlawan Embo Ali iaitu pada zaman penjajah, namun persamaan mereka ialah sama-sama memperjuangkan hak-hak masyarakat Kota Belud untuk dibangunkan, mereka mahu melihat Kota Belud diperintah oleh anak masyarakat Kota Belud sendiri dan yang penting sekali ialah mereka sependapat bahawa sebenarnya anak tempatan Kota Belud boleh melakukan seperti orang lain lakukan sehingga berjaya. Datuk Musbah mengubah nasib penduduk Kota Belud supaya maju setanding dengan bangsa lain di negara ini sementara Pahlawan Embo Ali perjuang memerdekakan Kota Belud dari penjajah, padanya mustahil anak kota belud tidak boleh melawan penjajah pada masa itu sepertimana yang dilakukan oleh pahlawan-pahlawan lain di daerah-daerah di Negara kita.

Datuk Musbah membina kekuatan peribadi melalui usahanya sendiri tanpa tunjuk ajar dari keluarga atau pun sesiapa dalam hidupnya. Dari seorang anak petani beliau menjadikan keperitan hidup untuk bangun dan berusaha dengan tulang empat kerat sehinggalah menampakan hasil usahanya hari ini. Beliau ditikam dari belakang oleh kawan-kawannya dan difitnah oleh musuh-musuh politiknya namun Datuk Musbah belum lagi mengaku kalah dan makin hari makin menampakan kehebatannya kepada rakyat Kota Belud melalui aktiviti turun padang yang tidak putus-putus. Sementara Pahlawan Embu Ali juga sebenarnya telah membina kekuatannya sendiri dengan mendidik masyarakatnya untuk menentang penjajah . Dengan berbekalkan kekuatan yang dibinanya sendiri jugalah Pahlawan Embu Ali telah mengangkat senjata menentang penjajah bersama-sama dengan pengikut-pengikutnya. Cuma yang membezakan antara mereka berdua ialah Pahlawan Embu Ali mati ditangan anak muridnya sendiri sementara Datuk Musbah masih ligat beraksi walaupun ditikam bertubi-tubi dari berbagai-bagai sudut oleh kawan-kawan yang belot dan musuh politiknya sendiri.

Satu perkara penting dalam kupasan saya ini ialah kedua-dua tokoh ini ialah mereka telah dapat mencipta zaman kegemilangan mereka sendiri. Datuk Musbah akan dikenang oleh generasi akan datang kerana usahanya membawa projek Jelapang Padi dan projek Agropolitan kepada bangsanya. Kedua-dua projek yang diganggap membawa impak ekonomi kepada masyarakat Kota Belud meletakkan lagi nama Datuk Musbah sebagai seorang tokoh yang mencipta sejarahnya di Kota Belud. Sementara Pahlawan Embu Ali telah meninggalkan perjuangan yang sentiasa dikenang oleh masyarakatnya di Kota Belud di atas usaha menentang penjajah untuk membebaskan daerah ini dari belenggu penjajahan, beliau walaupun gugur di tangan muridnya sendiri namun kematiannya sebenarnya adalah hadiah kemerdekaan kepada masyarakat kita di Kota Belud kerana bermula dari peristiwa perjuangannyalah minda masyarakat Kota Belud terbuka untuk bangun sebagai wira. Dan melalui sejarah perjuangan Pahlawan Embu Ali telah dijadikan oleh Datuk Musbah sebagai idola dalam meneruskan kehidupannya sebagai pemimpin harapan masa kini dan akan datang.

0 ulasan: