PERJUANGAN EMBO ALI BANYAK MISTERI YANG PERLU DIRUNGKAI

on Isnin, 16 Ogos 2010



Setelah Datuk Musbah dan krew-krew dari jabatan ARKEB negeri sabah melawat lokasi peperangan Pandasan di Kg. Pandasan baru-baru ini banyak pihak yang mempersoalkan niat murni yang dilakukan oleh, Datuk Musbah dan rombongannya untuk menjadikan lokasi Peperangan Pandasan itu untuk dijadikan satu lagi tarikan pelancong di daerah Kota Belud. Niat Datuk Musbah ini amat menguntungkan penduduk kampung dan kampung-kampung yang berhampiran, jika ianya menjadi realiti.

Namun persoalannya ada pihak yang merasa tidak senang tindakan wakil rakyat tempasuk ini. Ekoran daripada itu juga satu laporan polis telah dibuat di balai polis Kota Belud, kononnya Datuk Musbah cuba mengekpolitasi peristiwa itu untuk tujuan politik beliau. Sebagai orang biasa saya merasa sesuatu yang ganjil kenapa peristiwa Peperangan Pandasan ini sangat ditakuti oleh sesetengah pihak. Apa sebenarnya yang tersembunyi disebalik peristiwa itu dan kenapa mereka marah bila Datuk Musbah cuba merungkai peristiwa itu. Peperangan Pandasan umum diketahui oleh orang ramai sebagai satu sejarah perjuangan seorang pejuang yang menentang pejajah ketika itu. Seorang rakan FB ditelefon oleh seseorang apabila beliau diberi amaran supaya tidak membicarakan Sejarah Perjuangan Embo Ali di dalam FB. Satu lagi misteri yang bergelut dalam pemikiran saya dan menambahkan persoalan di dalam otak saya bahawa Sejarah Embo Ali banyak menyimpan rahsia yang perlu dibongkar untuk tontonan umum. Seolah-olah ada sesuatu peristiwa yang unik perlu diketahui oleh orang ramai yang tingggal di Kota Belud.

Justeru itu sebagai menjawab kepada semua kemuskilan daripada peristiwa perjuangan Embo Ali berikut saya petik tulisan seorang rakan melalui sebuah blog yang telah membuat kajian mengenai peristiwa ini.

Oleh
Milus Hj. Abd.Wahab

Sejarah perjuangan Sharif Ali atau lebih dikenali dalam masyarakt Kota Belud sebagai Embo’ Ali, merupakan catatan penting dalam lipatan sejarah daerah ini. Suatu penentangan yang amat tinggi nilainya, dan sepatutnya menjadi teladan kepada semua warga Kota Belud. Penentangan yang tercetus di Kg. Pandasan, satu perkampungan yang terletak di utara Kota Belud, jalan ke Kudat. Suasana kampung yang tenang dan damai itu telah melakar sejarah terpenting dalam negara ini.

Mengungkap kembali sejarah tersebut adalah amat perlu dan wajar untuk melihat secara mendalam tentang perjuangan beliau bersama-sama dengan pengikutnya di Pandasan pada tahun 1915. Sudah 105 tahun yang lalu peristiwa ini berlaku, namun kita bersyukur kerana sejarah ini tidak mudah dilupakan begitu sahaja. Sejak pembentangan 2006, perbincangan dan perdebatan berkaitan penentangan Embo’ Ali masih hangat dibahaskan di daerah Kota Belud, iaitu daerah tercetusnya peristiwa tersebut dan seolah-olah masa yang diberikan ketika sesi soaljawab dalam seminar tersebut amat tidak cukup.

Masyarakat Kota Belud, sama ada Iranun, Bajau, Dusun, Ubian, Cina dan Banjar atau apa sahaja etnik yang terdapat di Kota Belud turut terlibat dalam perbahasan yang berlaku kini. Medan-medan kedai kopi, warung, majlis-majlis keramaian seperti kahwin dan kenduri-kendara, di facebook iaitu medan maya dan juga program wakil-wakil rakyat di Kota Belud turut dibincangkan. Kegiatan seperti ini amat baik dan positif bagi meningkatkan daya intelektual serta sikap celik sejarah dalam kalangan masyarakt Kota Belud.

Sejarah Embo’ Ali sebagai tokoh pejuang telah membuka minda dan fikiran kita tentang hebatnya beliau dalam mempertahankan hak dan kebebasan sebagai pribumi dan pemimpin. Sewajarnya penghayatan secara mendalam terhadap dasar-dasar perjuangan beliau dijadikan asas utama untuk masyarakat melakukan anjakan paradigma bagi membina bangsa jiwa merdeka. Pengorbanan beliau amat tinggi dan mulia, akhlak beliau serta ilmu yang dimilikinya telah menjadi asas kuat kepada pengikutnya menyokong dan turut mengorbankan diri demi kemuliaan bangsa.

Embo’ Ali telah membelakangkan kepentingan peribadi, tetapi memilih jalan bahaya untuk bangsa. Beliau menolak harta dan pangkat, beliau mengenepikan kesenangan dan kemewahan, dan menyerahkan mati hidup kepada Allah kerana agamanya. Apa yang beliau tinggalkan kepada anak buahnya, harta, pangkat, tanah, atau rumah besar, semua itu tidak berlaku kepada beliau. Embo’ Ali terkorban, darah yang menitis di persada Pandasan, jasad yang terkubur di tanah merdeka Pandasan, pokok-pokok dan sungai menjadi saksi terhadap keikhlasan Embo’ Ali, megah, menghijau, dan merimbun menaungi medan merdeka itu. Sejarah ini telah mengakar dan cuba merimbun dalam masyarakat kini.

Karisma beliau sebagai pemimpin terulung berupaya menyatukan pelbagai etnik menentang pihak Inggeris daripada Syarikat Berpiagam Borneo Utara British yang cuba merampas dan memaksa masyarakat tunduk terhadap kehendak mereka. Namun, Embo’ Ali, dengan tegas serta konsisten tidak sanggup menjual diri, tanah air serta perjuangannya. Embo’ Ali mempunyai harga diri serta maruah, harta bukan taruhannya. Beliau melaungkan slogan ‘lawan tetap lawan’ perdamaian bukan penyelesaian, dan perjanjian bukan jaminan untuk bangsannya merdeka dan bebas. Bagi beliau, bangsa yang merdeka adalah bebas daripada jiwa terjajah, bangsa ada maruah, bangsa bukan peminta, bangsa bukan hamba harta, bangsa bukan pengampu, bahkan bangsanya adalah bangsa mulia, dihormati, dihargai dan bangsa yang berbudi pekerti, beriman, bertaqwa dan berilmu.

Kepimpinan beliau, terserlah bila mana semua anak muridnya dapat bertahan tanpa gerun, walaupun mereka tahu bahawa pertarungan kali ini adalah menentukan mati atau hidup, oleh kerana jiwa merdeka mereka serta semangat pejuang sudah sebati, nyawa bukan lagi perhitungan, dan apa yang penting harga perjuangan, maruah, agama dan bangsa. Embo’ Ali menyerlahkan kredibilti beliau selaku pemimpin ulung, susah senang bersama rakyat, jiwa pejuang beliau telah tercerna dalam diri, ‘biar putih tulang jangan putih mata, biar mati berdarah, jangan hidup merana. Itulah karisma Embo’ Ali dalam perjuangannya yang menjadi pemersatu kepada semua etnik yang sedar akan erti jiwa merdeka.

Biarlah perjuangan beliau lebih 105 tahun yang lalu kekal dan mengakar dalam sanubari kita semua, kita ambil iktibar atas ketegasan beliau. Kepada pemimpin yang mahu mengaku pemimpin, lihatlah bagaimana Embo’ Ali mengutamakan rakyat atau bangsanya sehingga beliau dulu yang terkorban kerana rasa kebertanggungjawaban yang tinggi. Pemimpin sebeginilah yang seharusnya ada pada hari ini, yang sentiasa bersama dengan rakyat sehingga ke liang lahad.

0 ulasan: