MUSBAH ROLE MODEL ANAK PETANI

on Selasa, 27 April 2010



Apabila Dr. Mahathir Mohammad menjadi Perdana Menteri beliau melaung-laungkan ungkapan “Malaysia Boleh”. Antara tujuannya ialah supaya rakyat Malaysia mempunyai keyakinan diri dalam mengharungi dunia yang penuh mencabar ini. Sudah menjadi tabiat orang-orang kita selalu mengagong-agongkan orang lain daripada mengagong-agongkan orang-orang kita sendiri. Dari segi barang-barang keperluan misalnya orang-orang kita dinegara ini lebih meminati barang-barang dari luar Negara seperti dari Eropah, Amerika, Jepun dan sebagainya. Mereka sanggup berbelanja beratus-ratus ringgit membeli barang yang diimport dari luar Negara daripada membeli barangan yang dibuat dinegara kita sendiri. Alasan yang kita dengar mereka menyukai barangan tersebut kerana kualitinya yang tinggi dan tahan untuk digunakan, tetapi mereka tidak sedar akan bahan yang digunakan terhadap barang tersebut adalah sama sahaja.

Inilah sikap yang masih menebal di dalam masyarakat kita dan sukar dihapuskan sama sekali. Pemikiran seumpama ini perlu dikikis jika kita mahu melihat bangsa kita maju setanding dengan bangsa telah maju.

Saya masih ingat orang kampong menghantar anak-anak mereka belajar ke luar negeri dan pulang dengan membawa segulung ijazah dan mempunyai kemahiran yang setanding dengan orang yang lain. Tetapi malangnya dikalangan keluarganya sendiri juga masih meragui kemampuannya melakukan sesuatu tindakan. Mereka lebih mengiktraf kebolehan anak orang lain atau orang luar daripada anak sendiri. Misalnya seorang anak yang baru pulang belajar agama dan membawa segulung ijazah serta mahir memberi ceramah dalam bidang agama. Tetapi orang kampong lebih berminat menjemput penceramah dari luar daripada memberi peluang kepada anak tadi memberi ceramah. Kalau pun ianya diberi peluang memberi ceramah sambutan penduduk kampungnya amat lembab sekali.

Perkara seumpama ini bukan sahaja berlaku seperti yang saya ceritakan tadi, tetapi dalam politik pun wujud gejala seumpama ini, misalnya apa yang berlaku kepada YB Datuk Musbah Haji Jamli. Beliau bukan sahaja telah berjaya memperlihatkan kebolehannya dalam perniagaan malahan dalam dunia politik pun beliau telah dapat memberi saingan yang sengit kepada musuh-musuh politiknya. Bagi mereka yang sama-sama berkecimpung samada dalam dunia politik dan perniagaan, sampai sekarang ini mereka tidak pernah mengiktiraf kemampuan beliau, lebih-lebih lagi apabila beliau telah meninggalkan mereka ke hadapan khususnya dalam dunia politik.

Suatu ketika mereka sepasukan berazam mengubah senario politik Kota Belud iaitu dari politik berbentuk dinasti kepada bentuk politik yang lebih terbuka. Politik ini lebih kepada memberi peluang kepada semua orang untuk menunjukkan kebolehan sebelum orang lain mengakui kebolehannya dan dengan sendirinya dirinya akan diangkat oleh masyarakatnya menjadi pemimpin. Inilah inpati perjuangan yang dicanang oleh kumpulan mereka yang mahu mengubah bentuk politik Kota Belud, Datuk Musbah yang terkenal dengan hati yang cekal dalam perjuangan menjadikan keihlasan sebagai pegangan sepanjang masa.

Saya masih ingat dengan segar peristiwa apabila berlaku pertandingan pemilihan UMNO Kota Belud buat pertama kali dalam UMNO bahagian Kota Belud. Datuk Musbah yang pada masa itu menyokong Team Tun Mustapah bersama pasukan Saudara Lamsil Hamidsor menentang kem Datuk Salleh Tun Said yang lebih memihak kem Datuk Sri Anwar. Saudara Lamsil telah menawarkan diri bertanding Ketua UMNO Bahagian, manakala Datuk Musbah hanya menawarkan diri bertanding Timbalan Ketua UMNO bahagian UMNO Kota Belud. Ekoran dari peristiwa itu berbagai ranjau yang dilalui oleh kumpulan Datuk Musbah, rakannya yang suatu ketika berjuang untuk mengubah politik Kota Belud telah berpaling tadah hanya semata-mata untuk menyelamatkan keria politiknya. Datuk Salleh Tun Said yang dianggap musuh politik olehnya tapi kini telah dijadikan kawan. Datuk Musbah tinggal seorang diri mempertahankan prinsip perjuangan. Perjuangan asal yang berlandaskan keikhlasan diteruskan meksipun sudah tiada lagi kawan dulu kerana masing-masing menyelamatkan agenda politik masing-masing.

Namun kini Datuk Musbah tidak keseorangan kerana beliau masih bersama dengan orang yang menerima jolokan nama “Kuda Gandar” saudara Awadnir Matanggal yang suatu ketika telah dipermainankan oleh orang tertentu. Kumbinasi Datuk Abd. Rahman Dahlan dan YB Jaflin Hakim telah memantapkan perjuangan Datuk Musbah untuk mengubah senario politik Kota Belud. Apa pun orang kata mengenai Datuk Musbah, beliau kini telah dapat mempamerkan dirinya sebagai Rule Model sebagai pemimpin yang amat konsisten dalam memperjuangkan nasib masyarakat daerah Kota Belud. Kini musuh-musuh politiknya mula mengakui kebolehan beliau sebagai pemimpin Kota Belud yang lahir dari seorang petani, mereka mula berjinak-jinak dengannya, namun beliau sentiasa berhati-hati kerana pengalaman yang lalu banyak mengajarnya melalui bersama-sama dengan mereka.

Masyarakat Kota Belud juga kena mengubah pemikirannya dengan tidak berada dibawah tahap pemikiran dalam “Tempurung”. Sebenarnya semua orang boleh melakukan kejayaan sepertimana yang dilakukan oleh YB Datuk Musbah. Menjadi pemimpin tidak semestinya lahir dari kalangan keluarga pemimpin, yang penting kita kena berusaha dan sentiasa ikhlas dalam perjuangan barulah mendapat keberkatan dari Allah SWT.

0 ulasan: