DATUK MUSBAH DIKENANG SEPANJANG ZAMAN

on Sabtu, 19 Disember 2009






Sebagai anak kelahiran dikalangan keluarga petani, keperitan yang dirasai pada masa dulu masih lagi menjadi misteri di dalam hidup ini, ingatan ini masih segar ketika petani masih menggunakan kerbau sebagai tenaga pembajak sawah padi dan air hujan sebagai punca pengairan utama ketika itu. Kemahiran pembajak sawah dengan menggunakan kerbau masih lagi dimiliki sehingga ke hari ini. Kamilah generasi yang pernah merasai keperitan itu. Walaupun teknologi itu tidak lagi digunakan pada hari ini, tetapi saya masih bangga kerana pernah melalui keadaan itu sebagai satu pengalaman yang boleh dikongsi bersama dengan generasi akan datang.

Saya masih ingat apabila tiba musim hujan pada awal bulan Disember, ayah yang bekerja sebagai petani sepenuh masa akan membawa kerbau jantannya ke sawah padi tiap-tiap hari untuk melakukan pembajakan sawah dengan menggunakan radu yang diperbuat daripada kayu keras yang tahan daripada patah apabila ditarik oleh kerbau. Sawah padi kami yang hanya sekitar lima ekar memakan masa lebih kurang tiga atau empat minggu untuk diradu, cabaran utama dalam masa ini ialah keadaan tanah yang dipenuhi oleh rumput yang sudah tingggi boleh mengakibatkan alat raduan yang diperbuat daripada kayu patah, jika ianya tidak dilakukan dengan teliti dan cermat. Apabila alat raduan ini patah menyebabkan proses membungkar tanah akan tergendala lagi, sehinggakan ayah dapat membaiki alat raduan itu kembali. Biasanya membaiki alat raduan itu memakan masa antara satu minggu atau dua minggu, kelewatan ini disebabkan kerana ayah terpaksa masuk ke dalam hutan yang berhampiran untuk mencari kayu yang keras dalam bentuk yang mudah dijadikan alat raduan.

Begitulah keadaan kepayahan kehidupan keluarga petani di tahun sekitar 1970 an, waktu itu saya diusia belasan tahun dan masih bersekolah di SMK Taun Gusi. Hasil padi yang tidak menjadi sudah menjadi kebiasaan, saya masih ingat kesusahan ayah membesarkan kami sekeluarga dengan hanya tanah sawah sebesar lima ekar, bila hasil padi tidak menjadi kami sekeluarga terpaksa berjalan kaki ke kawasan persawahan Kg Tempasuk 2 sejauh dalam sekitar 12 batu mengambil upah mengetam padi di perkampungan orang-orang Dusun. Sementara ayah terpaksa turun ke laut menangkap ikan sepanjang hari, dengan hanya menggunakan perahu dayung, beliau akan memerah tenaga tiap-tiap hari hanya sekadar pendapatan yang tidak seberapa. Pengalaman turun ke laut telah menjadikan diri ini memiliki kemahiran menangkap ikan dan hari ini sekali sekala saya turun ke laut hanya sekadar hobi, sekurang-kuranngnya save juga belanja sekali turun ke laut selama seminggu.

Tapi hari ini keadaan kehidupan petani seperti ini akan menerima perubahan yang besar apabila JELAPANG PADI yang diihlamkan oleh YB Datuk Haji Musbah Haji Jamli Adun N6 Tempasuk merangkap Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sabah siap sepenuhnya tidak berapa lama lagi. Projek mega yang dalam fasa pertama ini di katakan menelan belanja RM71 juta dan sana sini sedang rancak dilaksanakan, di kawasan masyarakat Iranun sahaja, khususnya daerah mengundi Tamau yang melibatkan kampong Tamau, Kampung Pintasan, Kampung Tawadakan, Kampung Merabau dan Kampung Kota Bungan menelan belanja sekitar RM 25 juta lebih. Baru- baru ini apabila saya berkesempatan balik kampong wajah sawah padi yang wujud sekitar tahun 1970 an dan 1980an telah jauh berubah. Tanah sawah padi yang dikatakan oleh setengah pemimpin tidak subur suatu ketika dulu hanyalah helah politik semata-mata kerana kegagalannya membela masyarakatnya sendiri.

Hari ini jalanraya menuju ke sawah padi mula dibina oleh kontrator yang telah dipertanggungjawabkan, pembinaan sistem pengairan sawah yang berteknologi tinggi telah berjalan sejak beberapa bulan yang lalu. Pemasangan batang paip dalam tanah dengan menggunakan paip yang bersaiz besar memudahkan petani-petani yang terlibat membekalkan air sawah dengan lebih mudah sekali dengan hanya membuka kepala paip yang disediakan disetiap pesawah. Inilah kemudahan yang bakal dinikmati oleh setiap petani bukan sahaja di kawasan Dun Tempasuk tetapi sebaliknya di seluruh kawasan Parlimen Kota Belud yang berpotensi dijadikan sawah padi.

Projek Jelapang Padi yang diusahakan oleh Adun Tempasuk YB Datuk Haji Musbah Haji Jamli, bukan sahaja akan mengubah wajah kawasan sawah dalam daerah Kota Belud, akan tetapi akan membantu petani-petani di daerah Kota belud meningkatkan ekonomi mereka kerana hasil pendapatan padi mereka akan bertambah berbanding dengan pendapatan mereka sebelum ini. Daerah Kota Belud juga akan lebih dikenali di seluruh Negeri Sabah sebagai pengeluar padi yang paling banyak di negeri Sabah. Peningkatan pendapatan petani di dalam daerah Kota Belud merancakkan lagi ekonomi daerah ini, difahamkan apabila projek jelapang padi ini beropersi sepenuhnya dimasa akan datang, dianggarkan pusingan wang hasil padi sahaja di daerah Kota Belud mencecah lebih RM 200 juta setahun. Pusingan wang begitu banyak akan membantu golongan peniaga di daerah Kota Belud kerana wujudnya kuasa beli yang meningkat di kalangan penduduk Kota Belud itu sendiri. Pendek kata manafaat hasil daripada projek Jelapang Padi ini bukan sahaja di rasai oleh petani-petani daerah Kota Belud tetapi keseluruhan penduduk daerah ini.

Kejayaan YB Datuk Musbah Haji Jamli merealisasikan impian ribuan petani di daerah ini, dengan terbinanya Jelapang Padi Kota Belud melonjakkan nama pemimpin ini bukan sahaja di mata penduduk Kota Belud tetapi di seluruh negeri Sabah. Para petani Kota belud akan mengenang YB Datuk Haji Musbah Haji Jamli sebagai pemimpin sepanjang zaman selagi wujudnya Projek Jelapang Padi menjadi kepergantungan kepada petani Kota Belud.

0 ulasan: