SUBRAMANIAM DAKWA POLITIK WANG PUNCA KEKALAHAN

on Sabtu, 12 September 2009

KUALA LUMPUR: Datuk S Subramaniam, ketika menerima kekalahannya dalam percubaan merebut kembali jawatan Timbalan Presiden MIC, mendakwa politik wang sebagai penyebab utama kekalahannya. Beliau berkata wang diedarkan secara terbuka kepada perwakilan dengan minimum RM300 kepada setiap wakil. “Saya terima kekalahan. Ia amat mengecewakan. Saya tidak jangka kekalahan ini,” katanya kepada media, semalam.


Mengenai kemungkinan beliau akan menyertai parti lain atau membentuk parti baru atau apakah langkah beliau seterusnya, Subramaniam yang lama berkhidmat sebagai Timbalan Presiden MIC berkata: “Saya perlukan masa untuk memikirkan perkara itu (langkah seterusnya).” Ditanya sama ada ‘mesej’ Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tidak dipedulikan perwakilan, Subramaniam berkata: “Saya kira Perdana Menteri membuat gesaan penting. Saya kira mesej itu hilang begitu saja.”


Mengulas kemungkinan tindakan disiplin terhadapnya oleh kerana beliau sudah dirujuk kepada Lembaga Disiplin parti kerana membuat kenyataan mengenai pemilihan parti 1977, Subramaniam berkata beliau tidak kisah perkara itu.
“Saya tahu apa nak buat,” katanya. Sementara itu, ramai penyokong Subramaniam dilihat menangis. Mereka melepaskan rasa marah dengan melaungkan politik wang punca kekalahan itu dan menggesa beliau menyertai parti lain. Sementara itu, seorang lagi calon Timbalan Presiden, Datuk S Sothinathan, berkata beliau menerima kekalahannya. “Sekalipun apa yang diperkatakan Perdana Menteri sebelum ini...perwakilan sudah membuat keputusan mereka,” katanya.

0 ulasan: