IRANUN DAN HARI RAYA AIDIL FITRI

on Rabu, 16 September 2009



Setiap bangsa yang menganut agama islam berbeza menyambut perayaan seperti Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidil Adha. Tetapi matlamatnya semua sama yakni mencari keredhan dari Allah SWT.



2. Bagi masyarakat Iranun setiap kali tibanya sambutan Hari Raya Aidil Fitri mereka menyambut persiapannya dengan penuh rapi. Bagi kaum keluarga yang tinggal di tempat jauh akan pulang ke kampung halaman untuk bersama keluarga menyambut 1 syawal atau pun Hari Raya Aidil Fitri. Dua hari sebelum tibanya 1syawal kaum hawa selalunya sibuk membuat persiapan seperti menyediahkan kuih muih seperti kuih amik (pinjaram), Pinetad, pina kembang, kalash, piyusu, panganan, keripik ubi dan sebagainya. Tidak kurang juga yang sibuk mengemaskan rumah seperti menukar tabir tingkap, kursi tamu, lapis meja, menghias ruang tamu, menghias halaman rumah dengan lampu berwarna-warni dan sebagainya.


3. Pada malam subuh menjelang Hari Raya Pertama golongan wanita sibuk menyediakan juadah sebagai kenduri donduluga (bertukar-tukar kenduri). Biasanya ianya dilakukan sekitar jam 4.00 pagi hingga 6.00 pagi iaitu sebelum ke masjid untuk menunaikan sembahyang sunat Hari Raya.


4. Setiap dulang disediakan mengandungi makanan seperti sepinggan mangkuk nasi, lauk ikan, sayur-sayuran, pisang goreng, amik, kuih-muih masyarakat Iranun dan sebagainya. Budaya donduluga ini dilakukan oleh masyarakat Iranun sejak turun temurun lagi, walau bagaimana pun ianya seakan-akan pupus, apabila generasi baru tidak lagi mengamalkan budaya ini kerana terpengaruh dengan budaya masyarakat melayu yang tidak mengamalkan budaya ini. Apa pun ianya merupakan warisan yang ditinggalkan oleh nenek moyang dahulu kala yang bukan saja unik akan tetapi budaya ini juga tidak terdapat di dalam masyarakat lain di daerah Kota Belud.

5. Dan sewajarnyalah setiap generasi masyarakat Iranun mengamalkan budaya asli masyarakat ini selagi ianya tidak bertentangan dengan agama Islam yang menjadi anutan masyarakat ini. Pengekalan identiti seumpama ini amatlah penting dalam mempertahankan budaya bangsa Iranun dari luput kerana proses sosialisasi yang tiada batasnya.

6. Hari pertama sambutan Hari Raya Aidil Fitri seperti biasa masyarakat Iranun akan ke masjid menunaikan sembahyang sunat Hari Raya, selepas itu mereka pulang ke rumah masing-masing bagi membuat persiapan menyambut tetamu yang berkunjung ke rumah. Pada kebiasaanya di sebelah pagi merupakan waktu yang paling ramai mereka menerima tetamu.

7. Kemudian apabila tetamu sudah mula berkurangan, mereka pula akan mengambil kesempatan untuk berkunjung ke rumah saudara yang terdekat. Begitulah yang dilakukan sehingga waktu malam, mereka akan sibuk melayan tetamu sehingga tiada lagi sahabat atau saudara yang datang berkunjung ke rumah mereka.

8. Keesokan hari kanak-kanaklah yang paling meria dengan pakaian baru yang dibeli sebelum menjelang Hari Raya, mereka mengenakan pakaian seawal pagi lagi untuk ke kuburan beramai-ramai tidak kira golongan tua, muda, lelaki dan perempuan mengambil kesempatan menziarahi kuburan kaum keluarga yang pergi dulu menyahut panggilan ilahi.

9. Di kawasan kuburan keadaannya amat meriah sekali seluruh penduduk kampung dan kaum keluarga yang tinggal diperantauan akan pulang pada Hari Raya Kedua ini, sebagai tanda yang mereka masih mengingati keluarga mereka yang meninggal dunia. Kanak-kanak yang berpakaian baru akan bertemu dengan rakan-rakan sambil bermain mercun, namun kini mercun yang kini diharamkan oleh kerajaan menyebabkan bunyi mercun jarang kedengaran lagi sewaktu berkunjung kekuburan. Namun bagi kanak-kanak yang mendapat bekalan secara haram suasana bertambah riuh rendah bunyi mercun yang dibakar, mereka tidak lagi menghiraukan keselamatan dan undang-undang.

10. Hari Raya Ketiga budaya kunjung mengunjung akan berterusan sehingga ke malam harinya. Begitulah keadaan ini akan diteruskan selagi adanya sahabat handai dan kaum keluarga datang berkunjung ke rumah mereka di hari-hari seterusnya dan pastinya akan disambut dengan juadah yang bermacam-macam.

3 ulasan:

watasikadi berkata...

orang kata tahun ini hari raya kurang meriah rasanya.. betulkah? saya rasa ok jak pun. apa pendapat pak nujum? tinguk dulu dalam air, kali-kali nampak.

NUJUM PAK BELALANG berkata...

Watasikadi,

Menurut Firasat Pak Belalang setiap tahun Hari raya disambut penuh meriah bagi mereka yang telah menunaikan ibadah puasa. Tetapi bagi mereka tidak berpuasa kemeriahnya sangat berbeza kerana mereka hanya menumpang kepada kejayaan orang lain menunaikan ibadat puasa. Jangan-jangan saudara ini tak puasa kah?

abd naddin berkata...

Tahniah. saya suka membaca entri ini. Tulisan yang dapat menggambarkan salah satu aspek budaya kita.Teruskan